Aziz

TUAN ABD AZIZ BIN HASSAN
AMK., BCK.
 
Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan
 

LATAR BELAKANG KERAJAAN TEMPATAN

Malaysia telah mengamalkan sistem kerajaan yang terbentuk di tiga peringkat iaitu Persekutuan, Negeri dan Tempatan. Sistem Kerajaan Tempatan merupakan satu jentera pentadbiran dan pengurusan pembangunan yang penting di peringkat akar umbi iaitu satu peringkat yang paling rapat dengan Kerajaan.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi takrifan mengenai Kerajaan Tempatan dengan menyatakan bahawa Kerajaan Tempatan ini adalah sebagai ‘a political subdivision of a nation or a state (in a federal system) which is constituted by law and substantial control of local affairs, including the power of impose taxes or exact labour for prescribed purposes. The governing body such an entity is elected or one world locally selected.’

Kerajaan Tempatan adalah pembahagian geografi yang tidak tertakluk kepada kedaulatan pemerintahan Agong atau Sultan dalam sesebuah negara yang berdaulat atau separuh berdaulat melaksanakan kuasa pemerintah dalam sesebuah kawasan tertentu. Kebanyakannya mempunyai kedudukan yang sah dari segi undang-undang yang bermakna ianya boleh didakwa dan mendakwa serta boleh melibatkan diri dalam sebarang perjanjian atau kontrak.

Oleh kerana Kerajaan Tempatan dianggap sebagai alat demokrasi di peringkat akar umbi yang berkesan, Laporan Suruhanjaya Penyiasat DiRaja telah menggariskan beberapa konsep Kerajaan Tempatan. Antaranya adalah:

Sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal tempatan yang telah diwakilkan kuasa kepadanya oleh sesebuah kerajaan yang tertinggi sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.Kerajaan Tempatan adalah bertaraf lebih rendah daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan tertakluk di bawah kawalan kerajaan yang tertinggi daripadanya.Kerajaan Tempatan mempunyai Ahli-Ahli Majlis sama ada secara terpilih atau dilantik.Kerajaan Tempatan merupakan badan yang berasingan dari kerajaan yang tertinggi yang mempunyai kuasa untuk mendakwa, didakwa serta boleh membuat kontrak dan memiliki harta.Mempunyai kuasa dalam kawasan tertentu dan berkemampuan memberi kemudahan serta perkhidmatan di dalam kawasan tersebut.

Pejabat Setiausaha Kerajaan merupakan salah sebuah badan kerajaan yang telah ditubuhkan sejurus selepas kemerdekaan Malaysia. Tanggungjawabnya adalah tertakluk dalam hal-hal pentadbiran negeri termasuklah dalam membuat keputusan-keputusan penting dan mengawasi perjalanan pentadbiran negeri secara keseluruhannya. Badan ini bernaung di bawah kuasa Y.A.B. Menteri Besar dan pentadbiran eksekutif dibuat oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan.

Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah salah satu bahagian di dalam organisasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Dalam Perlembagaan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan adalah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi dari segi perundangan, ia adalah tertakluk di bawah Kerajaan Persekutuan. Bahagian Kerajaan Tempatan adalah sebagai urusetia dan penghubung di peringkat negeri bagi menyelaras segala dasar peraturan dan perkara-perkara yang diputuskan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Di antara bidang kuasa dan tanggungjawab Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Kedah Darul Aman termasuklah mengawal serta menyelaras aktiviti-aktiviti pembangunan, pentadbiran undang-undang kewangan dan mengumpul pelbagai maklumat berhubung Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negeri Kedah Darul Aman.

Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Kedah Darul Aman dinaungi oleh YBhg. Tuan Haji Norizan Bin Khazali, AMK., BCK. sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah Darul Aman dan diketuai oleh Encik Abd Aziz Bin Hassan, AMK., BCK. sebagai Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan). Beliau dibantu oleh 23 orang kakitangan sokongan yang bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas di semua 5 unit yang berfungsi di Bahagian Kerajaan Tempatan iaitu Unit Pengurusan Pentadbiran dan Kewangan, Unit Dasar dan Keurusetiaan, Unit Korporat dan Pemantauan, Unit Pengurusan Kewangan dan Unit Inspektorat PBT.