A- A A+

TMM2020

Mohd Asmirul (kanan) meninjau hiasan lampu LED dan lampu bintang pelbagai corak dan tema yang mendapat sambutan pengunjung.

JITRA 17 DISEMBER - Kerajaan negeri akan lebih agresif mempromosi tempat pelancongan Kedah di pintu masuk negeri ini termasuk di luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.Exco Pelancongan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, promosi akan dilakukan dengan memaparkan gambar terpilih dari pertandingan fotografi ‘The Beauty of Kedah’ pada papan iklan di lebuh raya, jeti, lapangan terbang serta gerabak kereta api.

Menurutnya, selain menganjurkan program bertaraf antarabangsa seperti World Chef Championship, pihaknya akan memperkenalkan tempat-tempat baharu yang menarik antaranya ‘SkyBox' di Menara Alor Setar.“Kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu menarik pelancong luar datang ke Kedah, promosi juga akan digiatkan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan LTSAAS ( Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) Subang, sebelum ini tiada promosi seumpama dilakukan,” katanya selepas merasmikan ‘Luna Lights Wonderland’ di Taman Tasik Darulaman malam semalam.

Mohd Asmirul berkata, pihaknya turut berhasrat mempromosi Kedah khususnya Langkawi dengan mempamerkan gambar menarik negeri ini pada papan iklan di luar negara.“Kerajaan negeri juga terbuka untuk menerima cadangan daripada mana-mana pihak bagi membantu merancakkan sektor pelancongan negeri ini antaranya dengan penganjuran program menarik kerana rakyat Kedah dahagakan aktiviti dan program bermanfaat,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya mempelawa syarikat swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalin kerjasama dalam penganjuran program terutama membabitkan kebudayaan dan kesenian di negeri ini."Mungkin pada masa depan, program seperti ‘Luna Lights Wonderland’ dapat dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara sampingan seperti konsert, teater dan sebagainya. Ini kerana Kedah mempunyai banyak kumpulan kesenian yang boleh diketengahkan,” katanya.

Mohd Asmirul berkata, pesta lampu taman LED terbesar ini merupakan kolaborasi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah iaitu Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan mahu kerjasama seumpama dipergiatkan.“Kita akan adakan acara lebih besar sempena TMM 2020, ini hanya permulaan sambutan pra-TMM 2020. Antaranya, Karnival Harapan di Kulim, konsert keagamaan bersama kumpulan dari Indonesia, Wali serta acara sukan seperti maraton dan regatta,” katanya.Pada majlis sama, dilancarkan tabung amal kutipan dana untuk disalurkan ke badan kebajikan antara KFA dan ‘Luna Lights Wonderland’.“Hasil sumbangan tabung itu akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan bagi menepati program CSR (tanggung jawab sosial korporat) KFA seperti dilaksanakan sebelum ini.

Antaranya membantu golongan memerlukan ketika Ramadan selain penyerahan hasil jualan tiket 'charity shield' antara Kedah dan Perak pada awal musim 2019,” katanya.Katanya, selain berhibur orang ramai dapat menyumbang kepada tabung itu, dan pada masa sama, KFA mahu pemain Lang Merah mendekati rakyat Kedah menerusi program kebajikan.

‘Luna Lights Wonderland’ di Taman Tasik Darulaman bermula pada 12 Disember hingga 1 Januari 2020, menampilkan Piano Pijak LED, maskot monyet tertinggi, 680,000 biji lampu bintang-bintang dengan 25 corak dan empat tema rekabentuk antarabangsa. Turut dihiasi, terowong lampu LED 50 meter, terowong lampu bintang 50 meter serta terowong Avarta Segitiga.

SUMBER : SINAR