A- A A+

covid19

ALOR SETAR 21 MAC - Kerajaan Kedah memperuntukkan RM21 juta sebagai inisiatif membantu rakyat yang terkesan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19).Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan media hari ini menggariskan sembilan perkara sebagai tindakan segera yang diambil dalam meringankan beban rakyat sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, sebanyak RM3.6 juta dikhususkan kepada bantuan keperluan asas yang disalurkan melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Exco angkat sebanyak RM100,000 kepada semua 36 kawasan DUN di Kedah.“Kita turut menyediakan dana RM550,000 berupa bantuan Food Bank kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Kedah termasuk pelajar tajaan kerajaan negeri di Mesir dan Jordan,” katanya.

Mukhriz berkata, sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menangani penularan wabak ini, pihaknya turut memperuntukkan RM400,000 sebagai bantuan sokongan kepada doktor, jururawat, anggota polis, Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi terlibat di negeri ini.“Memandangkan bekalan topeng muka dan cecair pencuci tangan sukar diperolehi kebelakangan ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM450,000 untuk bantuan barangan perubatan terbabit,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM1.2 juta disalurkan menerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bawah bantuan program Food Bank untuk manfaat 74,880 penerima meliputi 576 buah masjid seluruh negeri ini.“Turut diagihkan bantuan pusat kuarantin sebanyak RM300,000 menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah sehingga 30 September depan,” katanya.

Mukhriz turut mengumumkan pembayaran gaji kepada pekerja kontrak, sementara guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), pekerja sambilan harian diawalkan dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta.“Tidak dilupakan pakej rangsangan ekonomi kepada kumpulan yang terkesan akibat Covid-19, terdiri daripada peniaga dan penjaja kecil, pekerja harian kepada peniaga persendirian, pemandu teksi, pemandu bot, pemandu pelancong dan seumpamanya sebanyak RM10 juta,” katanya.

SUMBER : SINAR