A- A A+

Mukriz covid

Mukhriz (kanan) ketika meninjau Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bagi memastikan operasi menangani pandemik Covid-19 lancar.

ALOR SETAR 26 MAC - Kerajaan negeri sedang meneliti beberapa cara bagi membantu golongan yang menerima pendapatan secara harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, golongan berkenaan ialah penjaja kecil, penoreh getah dan nelayan maka perkara ini perlu diperhalusi sebaiknya supaya tidak memberi kesan negatif terhadap kepada pihak lain.

"Nelayan yang balik ke pelantar, biasanya ada peraih yang menunggu. Kalau kita tak benarkan peraih menunggu, nelayan pula merasakan tiada keperluan untuk ke laut. Ini antara perkara yang sedang diteliti," katanya.Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Anak Bukit, semalam.

Sementara itu, Mukhriz berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) hari ini akan membincangkan kaedah penyampaian bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Implikasi Covid-19 sebanyak RM10 juta seperti diumumkan sebelum ini."Sepatutnya pakej rangsangan ini dimulakan setelah PKP berakhir namun ketika ini kita lihat ramai yang memerlukan bantuan," katanya.

Mukhriz berkata, antara aspek yang akan diberi keutamaan ialah berkaitan agihan untuk menyalurkan bantuan berkenaan secepat mungkin."InsyaALLAH kita akan berbincang dengan persatuan dan wakil golongan tertentu seperti petani dan nelayan mengenai cara terbaik menyalurkan bantuan itu," katanya.Menurutnya, pakej rangsangan itu merupakan tambahan kepada RM12.785 juta yang diluluskan kerajaan negeri setakat semalam, sebagai sebahagian daripada inisiatif menangani pandemik Covid-19.

SUMBER : SINAR