A- A A+

sanusi 2

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman hari ini.
Foto Bernama

ALOR SETAR 18 MEI - Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan akan menjalankan pemerintahan secara berhemah, adil dan saksama kepada semua pihak.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, tidak akan berlaku penganiayaan atau ketidakadilan terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan daripada kategori lantikan politik oleh kerajaan terdahulu."Mengenai projek pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu, ada program yang akan kita teruskan, yang memerlukan penambahbaikan kita akan lakukan.

"Ada juga sektor yang mungkin memerlukan kita tekan butang 'total reset'. Ini akan dilakukan dengan perhatian yang teliti dengan rakyat sebagai keutamaan," katanya pada sidang media pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri yang baharu juga akan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan perdana menteri, jemaah menteri dan seluruh jentera kerajaan Persekutuan dalam mengurus tadbir negeri.

"Di peringkat negeri, kami memahami peranan penting Perkhidmatan Awam Negeri Kedah (KCS) sebagai tulang belakang pemerintahan dan pentadbiran negeri, (justeru) peranan dan kedudukan KCS akan sentiasa dihormati," katanya.Sementara itu, ditanya mengenai pembahagian kerusi bagi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco), Muhammad Sanusi berkata, segala keputusan berhubung perkara itu telah diputuskan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) peringkat pusat."Memang kita ada bincang tapi senang sahaja, keputusan (pelantikan exco) pusat sudah buat jadi kita ikut sahaja dan tidak perlu berebut-rebut. Majlis pelantikan exco pula akan dilakukan secepat yang mungkin," katanya.

Mengenai cabaran yang dihadapi apabila dilantik sebagai menteri besar semasa dunia dilanda pandemik koronavirus (Covid-19), Muhammad Sanusi berkata, beliau akan mengharungi segala kesukaran ini bersama rakyat.Katanya, tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk membantu rakyat yang terjejas akibat penularan wabak itu terutama peniaga kecil.Bagi pihak PAS dan PN Kedah pula, beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang telah memperkenan pelantikannya untuk memimpin kerajaan negeri yang baharu ini.

"Saya juga amat harapkan kerjasama daripada seluruh kakitangan awam negeri dan Persekutuan untuk sentiasa berganding bahu dan bekerja keras memacu pertumbuhan ekonomi negeri."Kepada menteri besar terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang kini berada di barisan pembangkang, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti kepada rakyat dan negeri yang telah dicurahkan sebelum ini," katanya.-

SUMBER : BERNAMA