A- A A+

pps

Awang Askandar (tiga dari kiri) mewakili APM Kedah menerima sumbangan daripada Lions Club di Pejabat APM Daerah Kota Setar, Anak Bukit dekat sini.

ALOR SETAR 15 OKTOBER - Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masing-masing di Pendang, Kubang Pasu dan Baling berikutan bencana banjir dan ribut di Kedah setakat hari ini.Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, seramai 62 mangsa banjir di Pendang ditempatkan di Dewan Cenderawasih semalam dan hari ini, 21 mangsa banjir di Changlun ditempatkan Dewan Kampung Tradisi Changlun, Kubang Pasu.

Menurutnya, di Baling pula seramai lapan mangsa ditempatkan di PPS Dewan Tun Razak kerana terjejas dengan kejadian ribut."Setakat ini tiga PPS telah dibuka di Kedah kerana kejadian banjir dan juga bencana ribut dalam tempoh Monsun Timur Laut."Jawatankuasa pengurusan bencana negeri telah bermesyuarat untuk menghadapi suasana bencana ini dalam situasi pandemik Koronavirus (Covid-19)," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APM Daerah Kota Setar, Anak Bukit hari ini.Terdahulu, beliau mewakili APM Kedah menerima serahan barangan sumbangan Lions Club bernilai RM7,860 yang disampaikan Pengerusinya, Datuk Dr Cheng Joon An untuk kegunaan petugas Covid-19 APM dan golongan sasaran yang terjejas.Awang Askandar berkata, SOP semasa proses pemindahan juga turut ditekankan dan orang ramai diminta tidak panik atau ragu-ragu semasa diselamatkan jika penempatan mereka turut banjir dan diarahkan berpindah.

"Walaupun pandemik, kita ada SOP atau tatacara yang telah disediakan di PPS. Jika ada lebihan kapasiti, kita telah mengenalpasti lokasi-lokasi alternatif lain yang boleh digunakan," katanya.Semalam Sinar Harian melaporkan, sebanyak 30 keluarga di mukim Tobiar, Pendang terpaksa menyelamatkan barangan penting di rumah mereka akibat banjir yang melanda kampung berkenaan selepas hujan sejak tiga hari lalu.Banjir berlaku berikutan Sungai Padang Kerbau mula melimpah ke kampung berdekatan seperti Kampung Banggol Tengah, Kampung Alor Berhala dan Kampung Sungai Mati.


SUMBER : SINAR