A- A A+
 

Ammar

 

YANG BERHORMAT
DATO' PADUKA AMMAR BIN DATO' SHAIKH MAHMOOD NAIM
DPSS., DSDK., JSD., SSS., AMK., AMN., BCK.
 

Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar bin Dato' Shaikh Mahmood Naim dilahirkan pada tahun 1962 di Alor Setar, Kedah Darul Aman. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Iskandar, Alor Setar dan seterusnya melanjutkan pengajian peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat menengah, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan di California State University Frenso, Amerika Syarikat pada tahun 1980 dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Perniagaan (Perakaunan) (BSc.) pada tahun 1984. Seterusnya, pada tahun 1985, beliau telah meneruskan pengajiannya ke peringkat Sarjana di University of San Francisco, Amerika Syarikat dan berjaya dianugerahkan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) pada tahun 1986.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar bin Dato' Shaikh Mahmood Naim telah bertemu jodoh dengan Yang Berbahagia Datin Paduka Hariyanti binti Amit dan perkahwinan mereka telah dilangsungkan pada tahun 1995. Hasil daripada perkongsian hidup mereka telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata dua lelaki dan dua perempuan.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 September 1987 di Pejabat Tanah Daerah Pendang. Di antara jawatan-jawatan yang disandang oleh beliau ialah Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Pendang, Penolong Setiausaha Kerajaan ‘D’ (Protokol), Pegawai Perhubungan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle  (IMT-GT), Pegawai Khas kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Kanan (Pentadbiran) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda, Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah Darul Aman, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) dan jawatan terakhir beliau sebelum dilantik ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah ialah Pegawai Kewangan Negeri.

Sebagai pemantapan dalam kerjaya beliau telah dihantar untuk menghadiri beberapa latihan dan mewakili Kerajaan Negeri Kedah sebagai delegasi di luar negara antaranya 59th Executive Development For Malaysian Senior Government Officer di Central  Official Training Institute (COTI) Korea Selatan, Strategic Leadership Course For Kedah Civil Service and State Government-Linked Companies di Filipina, Program Japan International Cooperation Agency (JICA) Grassroots Technical Cooperation Project Malaysia Kedah State Inbound Training di Jepun, Mesyuarat Pasca Sidang Kemuncak Ke-9 Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) di Indonesia, Delegasi Kerajaan Negeri Kedah ke Expo Milano 2015 di Itali dan International Economic Partnership Qingdao Roundtable di China.

Berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran, Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim turut dilantik sebagai pengerusi di State Secretary Kedah (SSK), Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN), Lembaga Zakat Negeri Kedah, Lembaga Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah, Lembaga Tabong Masjid Negeri Kedah dan Lembaga Tadbir Institut Al-Quran Darul Aman (LTIQDAR). Selain itu juga, beliau diberi tanggungjawab untuk memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dan beberapa syarikat lain diantaranya ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Pemodalan Kedah Berhad, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd., Kedah Invest Berhad (KIC), KXP Airportcity Holding Sdn. Bhd, Northern Gateway Sdn. Bhd. serta Yayasan Islam Negeri Kedah. Beliau juga amat menitikberatkan bidang pendidikan dan agama di mana beliau diberi kepercayaan serta dilantik sebagai Ahli Lembaga di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua`dzam Shah (UniSHAMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Sumbangan bakti beliau tidak terhad kepada bidang pentadbiran sahaja malahan beliau juga turut terlibat dalam bidang sosial dan kemasyarakatan. Ini terbukti apabila beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan-jawatan di dalam Persatuan serta NGO antaranya Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (dari tahun 2015 hingga 2016), Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sultanah Bahiyah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Yayasan Sultanah Bahiyah, Timbalan Presiden Royal Kedah Club, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan & Pentadbiran Yayasan Sultanah Bahiyah dan Penaung Junior Chambers International (JCI) Kulim sejak tahun 2010.

Di atas sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam dan kepada masyarakat, Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim telah dianugerahkan Bintang Cemerlang Kedah (B.C.K) pada tahun 1999, Ahli Mahkota Kedah (A.M.K) pada tahun 2002, Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada tahun 2004, Pingat Bintang Kehormatan Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Jasa Setia Diraja (J.S.D) pada tahun 2016 serta Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K) pada tahun 2017. Pada tahun 2019 beliau telah dianugerahkan Setia Sultan Sallehuddin Kedah (S.S.S) dan Darjah Paduka Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (D.P.S.S) yang membawa gelaran Dato’ Paduka sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Yang ke-77.